AWAK
SUDI JD ISTERI KEDUA SAYA....
"Awak sudi jadi isteri kedua saya?" tanya Syazni
tegas dan yakin.
Tiba-tiba mata Fulanah merah, air mata mula bergelinang di
kelopak bawah.
"Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup
mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!" pekik Fulanah
dengan suara tersekat-sekat.
Mata Syazni liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa
yang memandang perlakuan dia dan Fulanah. Bukan takutkan pandangan manusia,
tetapi lagak Fulanah langsung tidak selari dengan penampilannya.
"Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi
rupa-rupanya… " Fulanah mula sebak.
"Tak. Maksud saya…"
"Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!" potong
Fulanah dengan kasar.
"Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan
awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni
siapa?" suara Fulanah semakin tinggi, setinggi egonya.
Syazni diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fulanah' di
sebalik Fulanah yang dia kenal selama ini. Fulanah bergegas dari situ sambil
mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Syazni
seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu. Syazni muram. Namun
masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia
rupa-rupanya.
"Ada hikmah," bisik hati kecil Syazni, sekecil
pandangannya terhadap Fulanah.
Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah
menyibukkan jadual Syazni sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang
diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang
seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya
tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya
dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak. Keyakinan serta keaktifan
Syazni berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam
persatuannya. Malah, Syazni dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu
keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian
lama.
Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya,
namun, Fulanah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Syazni. Bagi Fulanah,
Syazni seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Syazni
melamarnya menjadi isteri kedua. Syazni masih lagi aktif dalam dakwah meskipun
hubungannya dengan Fulanah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu
berbaik dengan Fulanah, namun sikap Fulanah yang keras dan kurang memahami erti
dakwah membantutkan usaha Syazni tersebut.
Bagi Fulanah, Syazni tak ubah seperti lelaki lain. Gerak
kerja dakwah Syazni berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu kehilir memenuhi
program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat
dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Syazni semakin percaya jalan dakwahnya,
sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman
sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran
pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha
Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Syazni –
sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Syazni.
Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah,
Syazni dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Syazni sekali
lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya
selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Syazni
menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti
Fulanah atau tidak? Syazni bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah
ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah
merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Syazni
berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya.
Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Syazni mengulangi soalan
yang pernah ditanya kepada Fulanah.
"Sudi," jawab Nusaibah ringkas.
"Er, betul ke ni?" tergagap Syazni menerima jawapan
Nusaibah yang tenang dan yakin.
Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa
takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh
Syazni.
"Kenapa saya?" tanya Syazni ingin tahu.
"Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak,"
jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.
"Baiklah," jawab Syazni tersenyum.
Akhirnya, Syazni dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu
dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga
bersama Nusaibah, Syazni terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang,
pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak
kerja Syazni semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah,
Syazni membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih
menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin
yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan
Syazni. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga
takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.
"Abang, saya nak tanya boleh?" sapa Nusaibah dalam
kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.
"Ye sayang?" jawab Syazni sambil memandu.
"Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama
abang," luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.
"Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa," Syazni
menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.
"Yeke? Dia datang program tu rupanya," jawab
Nusaibah riang.
Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu
Syazni dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri
kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri
pertama Syazni yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Syazni aktif
dalam dakwah sebelum ini.
"Kita dah sampai," Syazni membuka pintu keretanya
sambil memegang beg berisi fail di tangannya.
Syazni berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan
masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.
"Itu isteri pertama abang," Syazni menuding jari
ke arah khemah tersebut
"Mana bang?" Nusaibah mengecilkan matanya,
fokusnya mencari arah jari Syazni.
"Tak nampak pun," Nusaibah meninggikan sedikit
hadapan kakinya.
"Siapa nama isteri pertama abang?" Nusaibah sangat
berdebar.
Syazni tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.
"PERJUANGAN, " jawab Syazni.
***************
Sedarlah semua wahai muslimah serikandi dan perwira Islam ...
kalian akan dimadukan!
Jika dirimu bakal seorang isteri…
Terimalah kenyataan bahawa anda akan dimadukan, bahkan anda
bukan isteri pertama yang bakal dikahwini tetapi anda adalah bakal isteri kedua
kerana isteri pertama bagi suamimu ialah perjuangan Islam!
No comments:
Post a Comment